UUM LEADS EVENT - PROGRAM SEMINAR KEWANGAN ISLAM DAN PROMOSI PELUANG PENGAJIAN






Slide images, click arrows or dots to navigate through media
PROGRAM SEMINAR KEWANGAN ISLAM DAN PROMOSI PELUANG PENGAJIAN DI UUM
KUALA LUMPUR, 20 Mac 2025 – Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh kesedaran kewangan Islam menerusi Program Penghayatan Kewangan Islam bertajuk “Hutang Bukan Derma, Jangan Buat Lupa”, yang berlangsung di Auditorium Tan Sri Abdul Halil, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Program ini dianjurkan oleh Mahasiswa Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam, Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai sebahagian daripada tugasan kursus Seminar Kewangan Dan Perbankan Islam. Kerjasama antara JKDM WPKL dan UUM ini berjaya menarik penyertaan seramai 130 pegawai kastam.
Sebelum program bermula, satu sesi promosi diadakan bagi memperkenalkan program-program pembelajaran terbuka dan jarak jauh yang ditawarkan oleh Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan UUM kepada pegawai-pegawai kastam. Edaran flyers dan goodies turut dilakukan bagi memeriahkan suasana serta memberi maklumat lanjut mengenai peluang pendidikan di UUM ini.
Program dimulakan dengan sesi taklimat oleh Prof. Madya Dr. Azri Bahri, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM. Dalam sesi ini, beliau mengupas kepentingan melunaskan hutang, kesan negatif hutang yang tidak diurus dengan baik, serta pendekatan Islam dalam mengelakkan bebanan kewangan.
Program diteruskan dengan slot perancangan kewangan Islam bertajuk “Rancang Harta, Berkat Pendapatan”, para peserta diberi pendedahan mengenai kepentingan perancangan harta menurut prinsip Islam, termasuk konsep hibah, wasiat, faraid, dan pengurusan kewangan beretika.
Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, malah membuktikan keupayaan pelajar UUM dalam menganjurkan seminar ilmiah berkualiti tinggi. Diharapkan lebih banyak program seumpama ini dapat diperluaskan ke agensi lain bagi memperkukuh kesedaran kewangan Islam.
Satu program seminar kewangan Islam yang bertujuan meningkatkan kesedaran pengurusan kewangan beretika dalam kalangan pegawai, di samping mempromosikan peluang pengajian terbuka dan jarak jauh (ODL) yang ditawarkan oleh Universiti Utara Malaysia.
